Teruja rakam video aksi gajah melintas boleh ancam nyawa
KOTA TINGGI - Tindakan pengguna jalan raya enggan memberhentikan kenderaan bagi memberi laluan kepada gajah melintas jalan selain teruja merakam gambar dan video aksi haiwan itu boleh mengancam nyawa mereka.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, kakitangan Perhilitan telah dikejarkan ke lokasi kejadian di Jalan Kota Tinggi- Mersing dekat Mawai malam tadi sebaik sahaja mendapat maklumat berkenaan kehadiran gajah liar yang merosakkan gerai buah-buahan di situ.
Menurutnya, dua ekor gajah liar dipercayai pasangan ibu dan anak itu menjadi panik disebabkan kenderaan yang terlalu banyak melalui lokasi berkenaan ketika musim perayaan.
"Selain itu pemandu juga dilihat tidak berhentikan kenderaan bagi memberi laluan kepada gajah untuk melintas kerana mungkin terlalu berminat merakam gambar atau video gajah atau pemandu mahu segera ke destinasi masing-masing.
"Pengguna jalan raya juga tidak perlu terlalu teruja mengambil gambar atau video kerana dikhuatiri akan menyebabkan gajah bertindak agresif seterusnya membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Gajah bikin panik pengguna jalan raya
Menurut Salman, dua ekor gajah liar terbabit bertindak masuk semula ke dalam hutan selepas kejadian itu dan beliau tidak menolak kemungkinan gajah terbabit akan keluar semula untuk mencari makanan.
Oleh demikian, beliau menasihati pengguna jalan raya agar memberi laluan sekiranya terdapat gajah melintas jalan kerana kawasan berkenaan merupakan laluan utama haiwan itu melintas jalan.
"Papan-papan tanda amaran telah diletakkan di sepanjang jalan untuk memberi amaran awal kepada pengguna jalan raya mengenai situasi gajah melintas jalan.
"Gerai buah-buahan yang didirikan di tepi-tepi jalan menarik minat gajah untuk mencari makanan di situ, malah kes gajah merosakkan gerai buah-buahan juga pernah berlaku sebelum ini di kawasan itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!