Kerajaan hari ini perlu dipertahankan: Azmin

 Mohamed Azmin Ali.
Mohamed Azmin Ali.
A
A
A

KUALA PILAH - Kerajaan pada hari ini perlu dipertahankan kerana muafakat yang telah 'dibingkai' sejak Februari lalu telah banyak menghasilkan kejayaan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lalu bahawa Muafakat Nasional (MN) tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) tidak menjejaskan kerajaan sedia ada.

"Dalam kenyataan itu juga, UMNO turut mendokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jadi kerajaan yang ada hari ini harus dipertahankan. Kita telah melihat kejayaan hasil daripada muafakat yang kita bina sejak Februari lalu bahawa banyak kejayaan yang telah kita capai dan diiktiraf dunia," katanya kepada pemberita selepas program Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara Negeri Sembilan di Laman D'Permai, Juasseh di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan kini meletakkan isu kesihatan rakyat dan ekonomi sebagai fokus.

"Jangan main politik banyak sangat kerana rakyat perlu pembelaan. Ini juga fokus Perdana Menteri.

"Beliau (Muhyiddin) jarang sebut tentang politik kerana mandat yang diberikan kepadanya adalah untuk selamatkan ekonomi negara dan rakyat daripada diserang wabak Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!