Pahang rugi hasil cukai RM30 juta akibat penanaman durian haram
KUANTAN - Kerajaan Pahang dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram melibatkan kawasan seluas 4,400 hektar di Raub.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.
Menurutnya, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan undang-undang secara tegas ke atas pencerobohan tanah kerajaan secara haram dan pencerobohan hutan bagi tujuan itu.
Beliau berkata, perkara itu perlu ditangani segera untuk melindungi industri durian tempatan.
"Bagi mengatasi masalah itu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Group diarahkan menyelesaikan isu penanaman durian secara haram itu melalui kaedah terbaik untuk menjaga kepentingan semua pihak.
"Sebagai tambahan, mereka perlu mematuhi keperluan peraturan alam sekitar, Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan peraturan-peraturan berkaitan," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Sallehuddin berkata, durian yang dikeluarkan ladang haram jelas tidak memiliki pensijilan myGAP, melanggar peraturan dan menyalahi protokol pengeksportan sekali gus boleh menjejaskan industri durian negara.
"Pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram juga turut memberi kesan kepada alam sekitar dan menjejaskan kelestarian alam khususnya hutan simpan dan sumber air," katanya.
Isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram itu sebelum ini dibangkitkan Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dalam Dewan Rakyat pada 23 Julai lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!