Lapor PJBM jika belum terima gaji, pampasan
KELEMAHAN dalam jenis dan terma kontrak yang ditawarkan kepada jurulatih menyukarkan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) mendapatkan keadilan kepada jurulatih yang berdepan masalah pembayaran gaji dan pampasan.
Presiden PJBM, B Sathianathan berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk memperjuangkan hak ahli-ahli PJBM jika kontrak yang ditandatangani bersama pasukan tidak memperincikan terma dengan jelas yang mana terdapat tiga jenis kontrak digunakan di Malaysia.
Menurut Sathianathan, pertamanya, seseorang jurulatih itu diberikan surat tawaran yang hanya sehalaman untuk membimbing pasukan, tetapi tidak mempunyai butiran yang jelas, sekali gus tidak boleh dianggap sebagai kontrak.
"Ia berlaku apabila seseorang jurulatih itu terutamanya baharu atau muda, mempunyai pekerjaan lain dan mengambil cuti tanpa gaji atau tanpa rekod untuk mencuba nasib dalam bidang kejurulatihan.
“Keduanya, ada persatuan yang meletakkan syarat ‘setelah berakhirnya pertandingan, maka kontrak dibatalkan’. Jadi apabila sesuatu pertandingan dibatalkan, maka kontrak itu terbatal.
“Ketiga adalah kontrak yang paling wajar, di mana pasukan dan jurulatih tandatangan untuk sesuatu tempoh, seperti sehingga November 2020. Ini baru kita boleh perjuangkan,” katanya.
Sathianathan turut menggesa jurulatih yang masih belum menerima gaji atau pampasan yang sewajarnya daripada pasukan masing-masing supaya tampil melaporkan perkara itu kepada PJBM.
“Saya atau PJBM bukan ahli sihir untuk mengetahui bahawa kamu teraniaya jika tidak dilaporkan. Kalau seseorang jurulatih itu cakap belakang sahaja, kita tak tahu...Kalau mereka takut dengan kebajikan, takut diambil tindakan, jangan jadi jurulatih.
“Kita ini ada kontrak, kena memperjuangkan hak kita. Jangan takut nanti tidak dapat kerja lain, persatuan tidak akan ambil bekerja...Ini kerja kamu, tiada yang datang secara percuma,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!