PRN Sabah: UMNO Sabah tentukan kerusi ditandingi esok
KOTA KINABALU - Umno Sabah akan menentukan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dalam mesyuarat parti esok.
Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, mesyuarat itu juga akan menentukan hala tuju UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam usaha memenangi kesemua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya tersebut.
"Pada saya, bukan soal untuk bertanding semua kerusi (DUN) tetapi soalnya berapa yang boleh kita (Umno Sabah) menang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Bagaimanapun, Bung Moktar berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai nama calon namun belum menentukan kerusi mana yang bakal diwakili mereka pada PRN itu.
Katanya UMNO Sabah akan mengumumkan nama calon yang terpilih bertanding pada pilihan raya itu lebih awal selepas diputuskan dan dimuktamadkan.
Mengulas autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah dalam membuat persiapan dan menentukan calon bagi PRN, Bung Moktar berkata, ia adalah pendekatan terbaik untuk rakyat Sabah kerana parti itu diterajui pemimpin tempatan sekali gus menolak dakwaan Umno hanyalah sebuah parti dari Semenanjung.
Beliau berkata, autonomi itu juga memberi peluang kepada pemimpin UMNO Sabah menentukan hala tuju parti di negeri itu, bukan hanya dalam soal menentukan calon dan kerusi yang ditandingi malah dalam mengemukakan tawaran baharu untuk rakyat di Sabah.
Menyentuh isu pertambahan kerusi DUN Sabah daripada 60 kepada 73, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berpendapat sudah tiba masanya ia dilaksanakan memandangkan geografi negeri tersebut yang besar dan luas selain sebagai usaha memberi perkhidmatan seimbang kepada rakyat.
Bung Moktar turut mengesahkan beliau akan bertanding di Lamag iaitu antara DUN baharu yang diwujudkan di Parlimen Kinabatangan.
Pada masa ini, Kinabatangan mempunyai dua DUN iaitu Sukau dan Kuamut.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebanyak 60 kerusi DUN Sabah dipertandingkan namun pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN menjadikan kedudukan semasa 73 kerusi.
Tiga belas DUN itu ialah N02 Bengkoka, N06 Bandau, N08 Pintasan, N13 Pantai Dalit, N17 Darau, N24 Tanjung Keramat, N27 Limbahau, N44 Tulid; N47 Telupid, N51 Sungai Manila, N58 Lamag, N61 Segama dan N70 Kukusan.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah Rohiman Rahia ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan pada PRN yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Pada Khamis lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah beberapa jam selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa blok pembangkang telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Ketika ini, UMNO Sabah memiliki satu daripada 17 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14 selepas 16 Ahli Dewan Undangan Negerinya meninggalkan parti itu dan menyertai parti gabungan kerajaan Warisan dan Bersatu. Kerusi DUN tunggal UMNO disandang Tan Sri Musa Aman yang mewakili DUN Sungai Sibuga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!