Wan Azizah adakan kunjungan hormat PM Thailand
BANGKOK – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kini sedang dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Thailand, mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha, di pejabatnya di Rumah Kerajaan hari ini.
Dr Wan Azizah tiba di sekitar 3 pm (4 pm waktu Malaysia) dan kedua-dua pemimpin menghabiskan masa kira-kira 25 minit membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama untuk kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri dan delegasinya tiba di ibu negara Thai pada jam 11.15 pagi waktu tempatan, hari ini (12.15 tengah hari waktu Malaysia)
Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Thailand sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei tahun lepas, susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lepas.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan pegawai-pegawai kanan.
Dr Wan Azizah kemudiannya mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya, Timbalan Perdana Menteri Thailand yang bertanggungjawab terhadap isu-isu Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia, Jeneral Chatchai Sarikulya di tempat yang sama.
Antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat kira-kira sejam itu termasuklah kerjasama dua hala antara kedua-dua negara serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama.
Pada sebelah malam pula, Dr Wan Azizah akan menghadiri majlis Makan Malam Rasmi yang akan dihoskan Sarikulya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!