Keputusan tidak sertai PN suara kolektif kepimpinan, akar umbi UMNO
SHAH ALAM - Pendirian UMNO untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai parti komponen sudah dibangkitkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional sebelum ini.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO telah membawa suara Majlis Tertinggi serta akar umbi yang tidak mahu parti itu menyertai PN dalam dua mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional.
Menurutnya, hampir keseluruhan kepimpinan pada semua peringkat mahu UMNO kekal dalam Barisan Nasional (BN) dan terus memperkukuhkan kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional.
"Justeru, apa yang disuarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan beliau baru-baru ini, adalah suara kolektif kepimpinan dan akar umbi UMNO.
"Bahkan, pendirian ini telah pun dibangkitkan barisan 11 kepimpinan yang mewakili UMNO dalam Jawatankuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional yang turut disertai 11 kepimpinan tertinggi Pas," katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO umum tarik diri daripada Perikatan Nasional
Khamis lalu, Presiden UMNO pada sidang medianya menegaskan bahawa Ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan PN walaupun tidak menyertai gabungan itu secara rasmi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN itu berkata, UMNO membuat keputusan tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional bersama Pas dan parti komponen BN.
Namun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam sidang medianya semalam pula berkata, parti itu tiada maklum akan keputusan UMNO untuk tidak menyertai PN.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, namun sebagaimana yang telah ditegaskan, UMNO akan terus mempertahankan kerajaan PN hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Kesepakatan juga dicapai dengan kepimpinan Pas untuk terus memperkukuh Muafakat Nasional tanpa sekelumit perasaan untuk menggagalkan kerajaan PN yang dibentuk bersama demi rakyat dan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!