Cabar wajib tulisan jawi pada papan tanda tindakan tidak harmoni
KUANTAN - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui mencabar ketetapan Kerajaan Negeri Pahang dalam mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri ini dilihat sebagai langkah tidak harmoni.
Munsyi Dewan Jawi Pahang, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sepatutnya semua pihak termasuk ADUN memainkan peranan agar tulisan jawi kembali dipertahankan sebagai nilai budaya rakyat negara ini.
Menurutnya, Yui Hui sepatutnya mencontohi ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong yang menganjurkan pertandingan seni kaligrafi jawi dan Cina sebagai wadah penyatuan semua bangsa di Malaysia.
"Memandangkan Selangor mungkin tidak menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi, maka penganjuran sebegitu merupakan cara terbaik untuk keharmonian semua bangsa di negeri berkenaan.
"Berbeza di Pahang, dasar penggunaan tulisan Jawi telah dikuatkuasakan bermula 1 Januari lalu dan tindakan kompaun dikenakan kepada pemilik premis yang gagal berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dr Asmadi berkata, sepatutnya ADUN Tras mengambil langkah sama menganjurkan program yang boleh memurnikan persepsi masyarakat Cina bahawa tulisan jawi adalah budaya masyarakat Malaysia dan bukan proses memelayukan mereka atau menyamakan tulisan jawi dengan agama Islam.
"Ramai orang Cina mampu menguasai tulisan jawi khususnya mereka yang datang ke Tanah Melayu sebelum kemerdekaan.
Orang Cina dari Bachok, Kelantan ramai menguasai tulisan Jawi.
"Program yang boleh menyatukan semua bangsa perlu diadakan dan memberi kesedaran kepada mereka bahawa tulisan jawi pernah menjadi tulisan rasmi bagi negeri-negeri Melayu suatu masa dahulu," katanya.
Tambah beliau, tulisan jawi kini menjadi tulisan rasmi yang digunakan dalam urusan agama dan adat istiadat Melayu di kebanyakan negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.
"Pemasyhuran kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia juga tertulis dalam tulisan Jawi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: DUN Pahang kecoh isu tulisan jawi
Asmadi berkata, sebagai pemimpin di negeri ini, ADUN Tras seharusnya menyambut baik saranan memartabatkan tulisan jawi.
"ADUN Tras juga jangan lupa, Sultan Pahang yang juga Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri menekankan agar penggunaan tulisan jawi diperluaskan pada premis perniagaan di negeri ini.
"Meletakkan tulisan jawi di premis perniagaan dilihat suatu langkah yang proaktif dalam usaha memartabatkan seni kaligrafi tulisan Jawi di Pahang," ujarnya.
Beliau berkata, isu tulisan Jawi bukan menafikan kebebasan bangsa lain kerana kerajaan masih membenarkan penggunaan kaligrafi Cina di premis masing-masing, bukan keseluruhan ditukar tulisan jawi.
Chow Yu Hui memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.
Permohonan itu dibuat 30 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuantan bagi menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara itu, sebelum ini.
Kerajaan negeri memutuskan semua premis perniagaan dan papan tanda jalan di negeri ini menggunakan tulisan jawi berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.
Penggunaan tulisan jawi itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan berkenaan diperkasakan di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!