Dua lorong kecemasan dibuka sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina

Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail menggaul hidangan Yee Sang bersama media pada Majlis Apresiasi Media di sini hari ini.
Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail menggaul hidangan Yee Sang bersama media pada Majlis Apresiasi Media di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Plus Malaysia Berhad (Plus) akan membuka lorong kecemasan di dua lokasi di lebuh raya negeri Perak bagi memastikan kelancaran aliran trafik sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina, 5 Februari ini.

Laluan berkenaan dari Slim River menghala ke Sungkai di KM367 (arah utara) akan dibuka dari 1 hingga 4 Februari manakala laluan dari Simpang Pulai-Gopeng di antara kilometer (KM) 287 hingga 289.95 ( arah selatan) akan dibuka pada 9 dan 10 Februari ini.

Kedua-dua lokasi berkenaan didapati antara laluan yang mengalami kesesakan teruk setiap kali musim perayaan.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail, berkata pembukaan lorong kecemasan tersebut merupakan projek perintis dan langkah itu akan diperluaskan sekiranya ia menunjukkan keberkesanan dalam melancarkan aliran trafik di lokasi tertentu semasa musim perayaan.

“Papan tanda menunjukkan lorong kecemasan dibuka akan dipaparkan kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, hari ini.

Azman berkata, sebanyak 1.9 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya tersebut pada setiap hari puncak sempena cuti perayaan itu.

Justeru, katanya, sebanyak 230 pasukan PlusRonda akan membuat rondaan 24 jam di kesemua laluan lebuh raya Plus bagi memberi bantuan dan perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya sepanjang musim perayaan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Plus akan menghentikan sementara operasi lorong tambah nilai ‘Touch 'n Go’ berkuat kuasa mulai 31 Jan hingga 11 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Langkah tersebut adalah bagi mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di plaza tol pada hari puncak, katanya.

Beliau meminta pengguna jalan raya supaya membuat persediaan lebih awal dengan menambah nilai kad 'Touch 'n Go’di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), di kawasan Rehat & Rawat (R&R) terpilih atau di stesen minyak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/Plustrafik atau melalui aplikasi Plus Mobile. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!