Bomba selamatkan mangsa terkandas akibat kepala air
BANDAR PERMAISURI - Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Setiu berjaya menyelamatkan empat individu termasuk dua wanita yang terkandas di Hutan Lipur Lata Payung di sini, akibat fenomena kepala air malam tadi.
Ketua balai berkenaan Zul Azman Jamaluddin berkata, mangsa berusia 18 hingga 28 tahun itu keluar menjala ikan di kawasan tersebut selepas Asar sebelum terkandas akibat fenomena kepala air yang berlaku secara tiba-tiba.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.22 malam dan seramai 14 anggota bersama satu jentera serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kita membawa keluar kesemua mangsa dengan kaedah 'main line' yang mana anggota kita mengikat tali di batang pokok merentasi sungai dan mangsa yang memakai jaket keselamatan diiringi anggota bomba untuk menyeberangi sungai," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Zul Azman berkata, bomba mengalami kesukaran untuk membawa keluar mangsa ekoran keadaan air sungai yang laju dan paras air yang tinggi.
Katanya, operasi menyelamat kesemua mangsa selesai pada kira-kira pukul 10 malam tadi.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!