16 pemegang kad UNHCR gagal patuhi jarak fizikal ditahan
ALOR SETAR - Polis menahan 16 individu pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal di kedai makan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, dalam tempoh bermula 10 Jun lalu sehingga semalam seramai 240 individu dikompaun.
"Mereka termasuk pengusaha premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, pengambilan suhu dan tidak mencatatkan butiran pelanggan.
"Orang ramai di sekitar Bandaraya Alor Setar mula mematuhi arahan penggunaan pelitup muka sejak kerajaan mewajibkannya bermula semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.< /p>
Mohd Redzuan berkata, pasukan pemantau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) IPD Kota Setar giat menjalankan pemantauan terhadap pematuhan pemakaian pelitup muka di 18 lokasi sekitar bandar terbabit semalam.
"Dalam tinjauan di beberapa lokasi tumpuan termasuklah Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kesemua mereka memakai pelitup muka, melakukan pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan sosial," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!