Pemuda UMNO ingatkan Bersatu cermin diri

Azril Rizal Yusof Mohd Sarit
Azril Rizal Yusof Mohd Sarit
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu sentiasa cermin diri dan mengukur baju di badan sendiri berikutan ramai pimpinan parti itu cuba menangguk di air keruh dalam isu pengagihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Peringatan itu diberikan Pemuda UMNO terhadap Bersatu yang didakwa semakin angkuh sehingga dilihat menggunakan pelbagai cara untuk memastikan UMNO dipinggirkan.

Exco Pemuda UMNO, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata, sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan didukung UMNO di peringkat nasional, Bersatu wajar bertindak lebih rasional dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan cuba merendahkan pimpinan dan parti UMNO.

"Selain terus menunjukkan keangkuhan bagi merebut kerusi yang ditandingi UMNO sebelum ini tanpa berbincang dahulu bersama pihak yang terlibat di dalam UMNO.

"Harus diingatkan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dahulu jumlah kerusi yang dimenangi Bersatu juga tidak seberapa,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu kerusi PRN Sabah hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Temerloh berkata, kerusi yang dimiliki mereka pada pasca PRU-14, termasuk di Sabah pun kerana faktor lompat parti dan bukan menang atas tiket Bersatu sendiri.

“Sebelum ini kita dapat lihat bagaimana nasib Bersatu setelah diganyang oleh UMNO, Muafakat Nasional, dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil seperti di Semenyih dan Tanjung Piai.

“Janganlah kerana faktor Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri, ahli-ahli Bersatu fikir dapat berbuat sesuka hati saja tanpa memikirkan UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Harus diingatkan barangkali Bersatu hanya relevan cuma atas faktor Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih menjadi Perdana Menteri semata-mata," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!