PRN Sabah: BN, sekutunya akan bertanding di semua 73 kerusi
KOTA KINABALU - Pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah membabitkan calon Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan sekutu parti itu akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu ini.
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, BN juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama rakan-rakan sekutu parti itu dalam menentukan kerusi yang akan ditandingi mereka.
Beliau berkata, BN Sabah dan rakan-rakan akan bertanding di semua 73 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
"Hari ini kita telah memutuskan bahawa UMNO Sabah, BN dan rakan-rakan yang lain kita akan bertanding 73 kerusi melawan Parti Warisan Sabah (Warisan).
"Ini bermakna, UMNO Sabah akan berunding dalam kalangan komponen BN sehari dua ini dan seterusnya kita akan berunding dengan rakan-rakan kita yang tidak pro Warisan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai mesyuarat UMNO Sabah di sini hari ini.
Terdahulu, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Rohiman Rahia dilaporkan berkata, sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN Sabah kali ini berbanding 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Ia membabitkan tambahan sebanyak 13 DUN iaitu N02 Bengkoka, N06 Bandau, N08 Pintasan, N13 Pantai Dalit, N17 Darau, N24 Tanjung Keramat, N27 Limbahau, N44 Tulid, N47 Telupid, N51 Sungai Manila, N58 Lamag, N61 Segama dan N70 Kukusan.
Sementara itu, Bung Moktar berkata, rundingan antara rakan sekutu adalah penting kerana UMNO Sabah mahu memastikan kemenangan pada PRN kali ini, tambahan pula ia satu pilihan raya luar biasa bagi semua parti bertanding.
"Sama ada bagi Warisan atau UMNO, parti ini ada signifikan antara satu sama lain. UMNO Sabah ada kelebihannya. Warisan pun ada kelebihan, ada juga kelemahan dia.
"Jadi apa yang penting bagi saya adakah kita harus boleh meyakinkan pengundi dan rakyat di luar sana sama ada rakyat di bandar, luar bandar, anak-anak muda dan sebagainya," katanya.
Selain itu, beliau berkata, PRN Sabah pada kali ini berada dalam norma baharu iaitu rakyat menunggu tawaran baharu yang boleh parti tunaikan.
"Bukan tawaran seperti ditawarkan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan dahulu. Mereka menawarkan macam-macam tapi akhirnya mereka tidak dapat tunaikan. Akhirnya mereka jatuh dengan sendiri," katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, UMNO akan memberikan tawaran baharu yang boleh ditunaikan dan dilaksanakan untuk menjamin kestabilan, keselamatan dan pembangunan ekonomi negeri itu.
Beliau berkata, UMNO Sabah dan rakan-rakan memberi jaminan untuk memberikan perkhidmatan terbaik berbanding pemerintah terdahulu dengan perubahan besar-besaran termasuk demi kepentingan anak muda.
Beliau turut yakin UMNO Sabah dan rakan-rakan lain akan mendapat kemenangan dengan jayanya dengan adanya kerjasama dan strategi tepat selain pemilihan calon bersesuaian.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai muka baharu yang bertanding, Bung Moktar berkata, beliau menjangkakan kira-kira 85 hingga 90 peratus muka baharu akan menjadi calon bagi mewakili parti berkenaan.
Pada PRU14, BN di Sabah memenangi 29 daripada 60 kerusi yang dipertandingkan dengan sekutu Warisan, UPKO dan PH turut memiliki jumlah sama.
Dua kerusi lain dimenangi oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!