Lanjutkan moratorium hingga Mac 2021
KUALA TERENGGANU - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu mendesak kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank sehingga Mac 2021 sekali gus akan membantu 7.7 juta peminjam dan 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketuanya, Zamir Ghazali berkata, lanjutan moratorium itu berupaya menyelamatkan perniagaan kecil dan mengelakkan pemberhentian pekerja.
Menurutnya, pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mendakwa pihak bank kerugian RM6.4 bilion kesan moratorium sebenarnya lebih tepat disebut penurunan keuntungan kerana ia bukanlah kerugian secara menyeluruh apatah lagi pihak bank mencatat keuntungan selepas cukai berjumlah RM32 bilion pada 2019.
“Adalah lebih utama pihak perbankan menunaikan tanggungjawab sosial korporat mereka dengan melanjutkan tempoh moratorium selepas puluhan tahun mengaut keuntungan.
“Dalam keadaan ekonomi jatuh kesan pandemik koronavirus (Covid-19), kegagalan kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank akan menyebabkan pakej rangsangan ekonomi Prihatin tidak akan berkesan dan tidak berupaya membantu rakyat bawahan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kerajaan pada Rabu lalu mengumumkan untuk melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan namun ia khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keutamaan pemberian lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu akan diberi kepada individu kehilangan pekerjaan dan mereka yang terjejas pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!