Wanita maut jatuh dari tingkat tujuh pusat beli-belah

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita yang menghidap kanser usus maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh bangunan sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun dari Indera Mahkota disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mangsa dilihat memandu sebuah kereta lalu masuk dan naik ke tempat letak kereta di tingkat lima bangunan berkenaan pada jam 9.34 pagi.

Beliau berkata, wanita itu kemudian dilihat berjalan kaki di kawasan tempat letak kereta di tingkat tujuh.

Berdasarkan rakaman CCTV juga, katanya, mangsa yang menggalas sebuah beg dilihat memanjat dinding pengadang sebelum terjatuh.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kepala berlumuran darah sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.

"Hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa mendapati kematiannya tidak melibatkan unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya di sini hari ini.

Mohamad Noor berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, berdasarkan maklumat diberikan suami mangsa, wanita itu disahkan mengidap kanser usus sejak 2016 dan dikatakan telah sembuh selepas menjalani rawatan.

"Bagaimanapun pada Mac tahun ini, penyakit itu kembali menyerang dan dia kini masih dalam rawatan kemoterapi.

"Mangsa tertekan sejak kebelakangan ini kerana tidak dapat tidur kesan daripada penyakit yang dihadapi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!