Muhasabah diri ingat mati

A
A
A

APABILA disebut kematian, apa yang biasanya kita faham ialah pernafasan dan jantung berhenti berdenyut buat selama-lamanya.

Antara yang biasa dilakukan untuk mengesahkan kematian adalah dengan meletakkan telinga di dada individu yang disyaki meninggal dunia bagi mengesan degupan jantung, memeriksa pernafasan, juga nadi di pergelangan tangannya.

Otak seseorang yang telah mati juga tidak lagi berfungsi. Si mati tidak akan dapat bercakap, bergerak, membuka mata, bernafas dan lain-lain. Tubuh badan pula akan menjadi sejuk, warna kulit berubah menjadi kebiru-biruan dan anggota tubuh menjadi kaku.

Dengan kemajuan teknologi yang membawa kepada wujudnya mesin bantuan pernafasan dan ubat-ubatan khas, kaedah untuk mengesahkan kematian secara konvensional seperti yang dinyatakan di atas mungkin tidak dapat diguna pakai dalam kes-kes tertentu.

Menurut Pakar Bedah Otak (Neurosurgeri) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Profesor Dr Zamzuri Idris, terdapat dua jenis kematian.

Kematian biasa apabila jantung berhenti berdegup yang akan mengakibatkan otak berhenti berfungsi setelah empat minit darah tidak dialirkan ke otak. Kematian otak pula apabila jantung masih berdegup tetapi otak langsung tidak berfungsi.

Seseorang yang telah mati otak berada dalam keadaan koma dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Ini kerana otak yang antara lain mengawal sistem pernafasan sudah tidak lagi berfungsi.

Kematian otak disahkan melalui kriteria pemeriksaan saraf dan fungsi otak. Kaedah pemeriksaan pernafasan dan denyutan jantung tidak dapat digunakan dalam kes seperti ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes sebegini, istilah atau konsep 'menghembuskan nafas terakhir' tidak lagi sesuai untuk menggambarkan kematian kerana pernafasan pesakit dikawal sepenuhnya oleh mesin dan pesakit sebenarnya telah menghembuskan nafas yang terakhir tanpa disedari.

Jasad pesakit kelihatan seperti hidup dan dada berombak seolah-olah bernyawa kerana bantuan mesin pernafasan. Sekiranya mesin itu dimatikan, nafas tidak akan pulih dan jantung akan berhenti dalam masa beberapa minit sahaja.

Kematian otak boleh berlaku jika terdapat kecederaan atau pendarahan teruk dalam kepala menyebabkan otak menjadi bengkak dan tersekatnya aliran darah ke otak. Tiada aliran darah yang membawa oksigen ke otak termasuk pangkal otak yang mengawal sistem pernafasan dan denyutan jantung, menyebabkan otak menjadi rosak serta bengkak sehingga akhirnya otak akan mati.

Apabila otak hilang fungsi secara kekal dan tidak dapat dirawat dengan apa cara sekalipun, pesakit sebenarnya telah meninggal dunia.

Jantung kelihatan berdenyut dan mesin pernafasan masih mengalirkan udara ke paru-paru tetapi otak pesakit tidak lagi berfungsi. Dalam keadaan sebegini, pengesahan kematian hanya boleh dilakukan oleh minimum dua orang doktor pakar dengan syarat-syarat ketat yang dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah memutuskan bahawa mati otak dianggap sebagai kematian. Fatwa itu menyebut:

“Muzakarah juga memutuskan bahawa dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian tersebut disahkan oleh pakar, maka akan thabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak. Justeru, adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya, penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris-waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terlibat dalam urusan pendermaan organ.”

Adakah kita sudah bersedia jika mati itu datang mengejut? Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dengan mengingati mati.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!