YouTuber ditahan selepas 'prank' wanita dengan daging korban
PALEMBANG - YouTuber dari Palembang, Sumatera Selatan, Edo Putra ditahan kerana memberi sampah kepada orang ramai yang mempercayainya sebagai daging korban sempena Aidiladha.
Edo ditahan Unit Siasatan Jenayah Polis Palembang selepas memuat naik video berkenaan di saluran Youtubenya, Edo Putra Official dan kemudian tular di laman sosial, lapor Kompas.
Ketua Komisioner Polis Palembang, Anom Setiyadji mengesahkan penahanan tersebut semalam.
Bagaimanapun, Anom belum dapat menjelaskan secara terperinci lokasi penangkapan dan motif pelaku kerana kes masih dalam siasatan.
Sebelum itu, Edo merakam video melakukan 'prank' dan memuat naik di saluran YouTube dengan tajuk 'Prank bagi daging kepada emak-emak isinya sampah'.
Video berdurasi 11 minit 56 saat menunjukkan dia mengedarkan beg plastik kepada dua wanita yang percaya ia berisi daging korban.
Kedua-dua wanita itu kelihatan gembira dan bersyukur dengan pemberian yang diberikan tetapi wanita itu kecewa selepas melihat isinya hanya sampah.
Selepas melihat reaksi wanita berkenaan, Edo memohon maaf dan memberi wang RP 500,000 (RM145) kepada mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!