Tun M dakwa rasuah punca DUN Sabah dibubar
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa berlaku amalan rasuah dalam kalangan ahli politik di Sabah menyebabkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terpaksa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, tindakan itu bagi menggagalkan cubaan rampasan kuasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dakwa beliau, seramai 13 Ahli Dewan Undangan (ADUN) di negeri itu bertindak berpaling tadah kepada pembangkang selepas menerima sogokan menyebabkan
"Saya dapati 13 ADUN yang keluar dari parti kerajaan negeri ditawarkan wang. Mereka disogok dan ini sesuatu yang ingin kita hapuskan.
"Mereka akan ditolak sepenuhnya oleh rakyat Sabah kerana mereka tidak boleh dipercayai. Mereka ini hanya ikut duit, bukan ada prinsip. Apabila mereka mendapat duit, mereka melompat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika rancangan bual bicara dalam talian yang dianjurkan kumpulan usahawan MyPerintis hari ini.
Dr Mahathir berkata, beliau sendiri akan turun berkempen menentang Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Saya akan pergi ke Sabah kerana saya mendapati bahawa apa yang berlaku di Sabah adalah contoh rasuah yang sangat buruk.
"Wakil rakyat boleh meninggalkan parti mereka dalam isu-isu prinsip dan bukannya kerana ditawarkan habuan," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, pihak yang bertanggungjawab memberi sogokan itu ialah orang yang sama yang sebelumnya memerangi rasuah.
"Saya dapati amalan rasuah lama yang ingin kita hapuskan telah muncul di Sabah.
"Lebih menyedihkan apabila orang yang sebelum ini memerangi rasuah adalah orang yang kini terlibat secara langsung dalam memberi rasuah," katanya.
Katanya, pengundi di negeri itu digesa menghukum ADUN-ADUN yang lompat parti menerusi PRN Sabah.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai moratorium, beliau berkata, ia tidak akan bertahan selama-lamanya dan operasi perniagaan mesti diatur semula dalam tempoh moratorium untuk persiapan sebelum ia berakhir.
"Bagaimanapun langkah terbaik adalah beralih kepada penjualan dalam talian, namun tidak semua peniaga dapat melakukannya.
"Saya bersimpati dengan mereka yang tidak dapat beralih ke perniagaan lain tetapi perlu ingat bahawa moratorium bukan selama-lamanya. Pada tahap tertentu, anda harus membayar hutang anda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!