Pas sedia tanding PRN Sabah
KOTA KINABALU - Pas mengumumkan parti itu sedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, parti itu sedang mengenal pasti beberapa kerusi yang berpotensi untuk ditandingi.
“Pas negeri sudah memuktamadkan beberapa kerusi pilihan, selebihnya kita serahkan kepada Pas Pusat berunding dengan rakan-rakan politik lain.
“Sebagai gambaran awal, Pas sentiasa menonjolkan calon yang penuh karisma dan berintegriti serta mampu menjalankan amanah kepimpinan secara adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Aminuddin, parti itu akan mengambil pendekatan mesra dengan semua rakan politik khususnya di Sabah dan perkara yang paling utama adalah mendapat kemenangan dalam PRN akan datang.
“Kami akan terus buktikan semangat setia kawan seperti yang telah dibuktikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis lalu sehingga berjaya mencapai kemenangan.
"Kami juga yakin seandainya semangat setia kawan ini diteruskan pasti akan membuahkan kemenangan yang sangat manis," katanya.
PRN Sabah bakal berlangsung dalam tempoh 60 hari selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menggagalkan cubaan rampasan kuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!