KM Tok Bali mampu tarik pelabur ke Kelantan
PASIR PUTEH - Pelaksanaan penguatkuasaan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di kawasan perairan di negeri ini memberi keyakinan kepada pelabur untuk menanam modal dalam perindustrian maritim.
Kemasukan aset baharu iaitu Kapal Maritim (KM) Tok Bali juga dilihat mampu menjadikan perairan Tok Bali sebagai pusat peranginan terkemuka di negara ini pada masa depan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob juga yakin kapal itu yang lengkap dengan teknologi terkini dapat memastikan perairan negara khususnya di Kelantan berada pada tahap terbaik
terutama dalam mengawal aktiviti pencerobohan
"Kapal itu juga boleh memperkasakan lagi usaha menyelamat sekiranya berlaku kecemasan di kawasan perairan Kelantan," katanya ketika merasmikan KM Tok Bali di Jeti Tok Bali Supply Base di sini hari ini.
Ahmad turut meluangkan masa meninjau kelengkapan dan kemudahan yang terdapat di dalam kapal berkenaan.
Hadir sama Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob.
Katanya, ia selaras dengan dasar dan mekanisme pengurusan negara dan International Aeronautical And Maritime Search And Rescue (Iamsar) yang meletakkan APPM sebagai agensi peneraju.
Ahmad berkata, pencerohan nelayan Vietnam merupakan salah satu masalah utama yang perlu ditangani oleh APMM Kelantan.
Katanya, sejak 2007 lalu sebanyak 277 buah bot nelayan asing warga Vietnam telah ditahan kerana menceroboh masuk ke negara ini secara haram namun mereka tetap degil dan meneruskan aktiviti tersebut.
"Kita berharap KM Tok Bali mampu menjadi pemangkin kepada anggota APPM Kelantan turut terus memberikan khidmat terbaik dalam memastikan perairan negara berada pada tahap terbaik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!