Majikan digalak tawar bekas banduan kerja
SUNGAI PETANI – Syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan majikan di negara ini disaran membuka peluang pekerjaan kepada bekas banduan bagi mengelakkan golongan itu kembali melakukan jenayah selain mengurangkan pengangguran.
Pegawai Penempatan Semula Penghuni Penjara Sungai Petani, Sarjan Kamarulzaman Othman berkata, majikan yang menyediakan perkhidmatan pekerjaan melalui Program Penempatan Semula Penghuni berhak menerima pelepasan cukai tahunan seperti yang ditetapkan.
Menurutnya, sejak Disember 2019, seramai 10 bekas banduan dari Penjara Sungai Petani telah memasuki pasaran kerja dalam pelbagai sektor termasuk perladangan, pengangkutan dan pembinaan.
“Setakat ini, seramai enam bekas banduan bersedia untuk mengisi kekosongan dalam sektor bersesuaian sekiranya dipanggil majikan manakala hampir 100 banduan dari Penjara Sungai Petani dijangka selesai menjalani tempoh hukuman penghujung tahun ini dan bersedia menyertai program ini.
“Atas faktor itu, kita sarankan syarikat yang berminat supaya tampil dan kita bersedia bekerjasama dari segi penyaluran pekerja dan pemantauan,” katanya.
Menurutnya, majikan digalakkan menyediakan asrama atau kemudahan tempat tinggal bagi memudahkan pengurusan pekerjaan selain pendapatan yang melepasi gaji minimum seperti saranan kerajaan.
Beliau berkata, tujuan penempatan semula pekerjaan ialah mengurangkan pengangguran, meningkatkan keyakinan serta sokongan motivasi kepada bekas banduan untuk memulakan hidup baharu.
“Penghuni yang dibebaskan terus dari penjara tanpa perkhidmatan sokongan seperti pekerjaan, tempat tinggal dan penyeliaan menyebabkan mereka tiada hala tuju dan perlu berdepan dengan persepsi negatif masyarakat.
“Melalui Program Penempatan Semula Penghuni, golongan ini diberi perkhidmatan sokongan yang merupakan salah satu fasa transformasi pemulihan dengan kerjasama dan perancangan strategik Jabatan Penjara Malaysia serta beberapa pihak lain dibantu masyarakat setempat,” katanya.
Pihaknya juga menyarankan pihak yang bersedia bekerjasama memberi peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang bersesuaian antaranya perniagaan, pertanian, pembuatan dan perindustrian agar tampil.
“Setiap individu pernah melakukan kesilapan dan mereka sudah menjalani hukuman atas kesalahan yang dilakukan. Setiap orang juga berhak diberi peluang untuk berubah," ujarnya.
Justeru, majikan yang berminat menyertai program berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penempatan Semula Penghuni atau hadir ke Penjara Sungai Petani bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!