Dua tahun terlalu singkat ukur prestasi Warisan
KOTA KINABALU - Tempoh selama dua tahun penguasaan Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah terlalu singkat bagi mengukur prestasi ekonomi negeri di bawah parti itu.
Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking ketika mengulas mengenai tuduhan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Facebook semalam berkata, Najib sepatutnya lebih tahu berbanding hanya menggunakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah 2018 untuk mengukur prestasi kerajaan negeri.
"Kerajaan Warisan hanya berkuasa selama 26 bulan dan tempoh ini agak singkat untuk mengukur prestasi parti itu ke atas negeri ini.
"Oleh itu, tempoh penuh lima tahun adalah lebih realistik jika mahu dibuat perbandingan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Darell lagi, Najib bagaimanapun sewajarnya memiliki pemahaman yang lebih baik mengenai struktur ekonomi Sabah dan sebab prestasi KDNK Sabah menjadi kurang memberangsangkan pada 2018.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib dakwa ekonomi Sabah lembab di bawah Warisan
Antara sebab utama disumbangkan oleh kejatuhan harga komoditi di peringkat global dan ini merupakan faktor luaran yang tidak boleh dikawal kerajaan.
Darell yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menjelaskan Sabah sebagai pengeluar komoditi telah terjejas akibat harga minyak sawit yang lebih rendah, ini digambarkan dalam pertumbuhan negatif sektor pertanian pada 2018.
"Sektor perlombongan dan kuari, penyumbang utama kepada ekonomi negeri, mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak -5.6 peratus pada 2018 disebabkan oleh gangguan pengeluaran minyak dan gas oleh Petronas, yang juga di luar kawalan kerajaan negeri," tambahnya.
Najib dalam catatan di Facebook mengumumkan ekonomi Sabah terjejas teruk semasa pemerintahan Warisan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Sabah di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) telah mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 8.2 peratus pada 2017 dan adalah yang tertinggi di antara semua negeri tetapi pertumbuhan KDNK Sabah 2018 menjunam kepada 1.5 peratus. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!