Perhentian, Redang diserbu pelancong
SEKTOR pelancongan adalah antara yang terjejas teruk angkara pandemik Covid-19 susulan penutupan pintu masuk negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, selepas berbulan-bulan orang ramai terperuk di rumah, sebaik aktiviti pelancongan domestik dibuka, ribuan pelancong tempatan kini menyerbu pulau-pulau terkenal di Terengganu. Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, FARAH SHAZWANI ALI, RUBIAH OMAR dan NORHASPIDA YATIM.
PULAU-pulau peranginan di Terengganu kini mula diserbu pelancong tempatan sebaik sahaja pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri bermula 10 Jun lalu.
Kemeriahan itu dapat dilihat melalui peningkatan mendadak jumlah pengunjung dan tempahan pakej ke pulau-pulau popular negeri ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pulau-pulau seperti Redang, Perhentian dan Kapas mencatatkan purata penginapan sebanyak 40 hingga 50 peratus pada hari bekerja manakala 70 hingga 80 peratus pada hari minggu.
Lebih mengejutkan, katanya, ada hotel di Pulau Redang yang mencatatkan purata penginapan sebanyak 75 peratus setiap hari selepas PKPP.
“Perkembangan ini cukup menggembirakan. Saya melihat antara faktor sambutan hangat ini adalah tarikan terhadap kecantikan pulau-pulau di Terengganu selain mempunyai jajaran pantai sepanjang 244 kilometer yang indah.
“Kita juga melihat kejayaan kerajaan negeri memaksimumkan penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Weibo, WeChat dan YouTube Beautiful Terengganu Malaysia sepanjang tempoh PKP.
“Peningkatan jumlah pelancong domestik ini juga mungkin disebabkan mereka tidak boleh ke luar negara dan beralih kepada melancong dalam negara dan saya rasakan Terengganu menjadi antara destinasi utama pilihan pelancongan domestik,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Ariffin, terdapat 373 hotel, resort dan chalet di Terengganu dengan 12,000 bilik yang berdaftar dan daripada jumlah itu, 65 buah terdiri daripada hotel, resort dan chalet di pulau dengan lebih 1,300 bilik.
Sepanjang tahun lalu, Terengganu telah menerima seramai 432,010 pelancong ke lima pulau utama di negeri ini.
Pulau Redang, misalnya, mencatatkan sejumlah 144, 917 pelancong, Pulau Perhentian seramai 146, 897 orang, Pulau Lang Tengah (39,129 orang), Pulau Kapas/Gemia (74,159 orang) dan Pulau Tenggol (26,492 orang).
“Walaupun sektor pelancongan semakin pulih, kita tidak boleh nafikan pandemik koronavirus (Covid-19) telah memberi impak yang besar kepada landskap pelancongan negara termasuklah negeri Terengganu.
“Pada asalnya Terengganu menyasarkan menerima kedatangan pelancong asing pada tahun 2020 seramai 1.3 juta orang, dengan anggaran peningkatan 300,000 orang berbanding satu juta pelancong asing yang berkunjung ke negeri ini pada tahun lalu.
“Bagaimanapun, pandemik Covid-19 telah menyebabkan kita terpaksa menutup pintu masuk negara bagi mengekang penularan wabak ini dalam negara. Jadi, kita jangkakan peratusan penurunan kehadiran pelancong asing menurun sebanyak 30 peratus pada tahun ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!