Penduduk sambut baik pelaksanaan TEMCO
JITRA - Penduduk Pekan Napoh di sini menyambut baik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran (TEMCO) yang berkuatkuasa semalam.
Mohd Faris Md Yusoff, 29, yang tinggal di Kampung Kubang Betong, Napoh di sini berkata, dia sekeluarga sudah membuat persediaan awal dengan membeli barang-barang keperluan malam kelmarin.
Menurutnya, ia bagi mengurangkan pergerakan mereka sekeluarga yang dalam masa yang sama membantu mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.
"Kampung kami ini terletak kira-kira dua kilometer sahaja dari restoran nasi kandar berkenaan, tetapi kami sekeluarga tidak pernah makan di situ.
"Restoran itu mula beroperasi sekitar tahun 2008 dan selalu menjadi tumpuan pemandu lori serta orang luar. Mungkin sebab lokasinya terletak di tepi jalan.
"Saya nasihatkan penduduk sekitar yang pernah makan di kedai itu atau ada kaitan dengan mana-mana pesakit, pergilah buat saringan supaya kita dapat putuskan rantaian Covid-19 di pekan ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd Faris berkata, sebagai penduduk kampung, dia bersetuju sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan terbabit.
"Memang ekonomi di sini akan lumpuh, penduduk tak boleh keluar tetapi itu yang terbaik untuk kami buat masa ini," katanya.
Seorang lagi penduduk, Rokiah Awang, 54, berkata, kedua-dua anaknya tidak hadir ke sekolah hari ini susulan arahan penutupan yang dikuatkuasakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba.
"Anak saya beritahu yang pengetua beri notis sekolah ditutup selama 28 hari. Saya sambut baik tindakan itu sebab bimbang juga bila dengar ada kes Covid-19 berdekatan sini.
"Saya melarang anak-anak daripada keluar dari rumah kecuali untuk urusan yang penting sahaja," katanya.
Kelmarin, lima buah sekolah di Kedah diarahkan tutup selama 28 hari hingga 29 Ogos ini susulan penularan Covid-19 bagi kluster PUI Sivagangga.
Sekolah yang terlibat dalam daerah Kubang Pasu adalah SMK Hosba, Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba, SMK Megat Dewa dan SK Megat Dewa.
Manakala di daerah Padang Terap pula membabitkan SK Kubang Palas di Padang Sanai.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Klinik Kesihatan Napoh mendapati orang ramai memenuhi kawasan persekitaran klinik berkenaan untuk menjalankan saringan Covid-19.
Difahamkan, mereka mulai hadir ke klinik berkenaan sejak jam 8 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!