Isu gaji: MUSA sedia bincang dengan Naruphon
PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (MUSA) akan berbincang dengan bekas Naruphon Wild Putsorn selepas isu tunggakan gaji pemain import itu dibawa ke pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemain berasal dari Thailand itu bagi menjernihkan keadaan dan mengelakkan isu tersebut menjadi lebih besar.
“Kalau dilihat pada kenyataan pemain itu, dia seperti tidak dilayan sewajarnya. Saya fikir kalau ada perbincangan atau kefahaman yang lebih baik, dia tidak akan ambil tindakan sebegini.
“Walaupun isu gaji lambat atau sebagainya, tetapi kita tetap akan bayar. Maknanya kalau ada penyelesaian secara persetujuan bersama itu lebih baik.
“Saya harap Setiausaha Agung dan Penasihat Undang-undang kita dapat berhubung dan memberi kefahaman lebih baik kepada pemain ini supaya dia berpuas hati dan tidak menjadikan isu ini lebih besar,” katanya.
Terdahulu, Naruphon dikatakan telah membawa kes tunggakan gajinya selama lima bulan ke pengetahuan FIFA selepas menamatkan kontrak bersama Melaka United pada 24 Julai lalu.
“Itu hak pemain untuk melaporkan kepada FIFA atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Mungkin juga dia telah dinasihatkan peguam untuk berbuat demikian. Apa pun, bila sampai ke peringkat itu maknanya kita akan mengambil tindakan yang bersesuaian dengan kes ini.
“Tetapi kalau ada penyelesaian secara baik atau bersama iaitu persetujuan kedua-dua pihak itu lebih baik daripada bawa ke peringkat atasan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!