Lain rancang, lain jadi...
RIO DE JANEIRO - Rancangan seorang pesara mahu membuat tuntutan insurans palsu tidak kesampaian apabila kebakaran yang sengaja dicetuskan olehnya telah memusnahkan kira-kira 673 hektar kawasan hutan hujan yang dilindungi di Brazil.
Heli Barroso Martins, 66, didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan hutan simpan biologi Araras di Petropolis di wilayah pergunungan Rio de Janeiro.
Ketika disoal siasat, Martins menyatakan dia sedang memandu pulang ke rumahnya di laluan terpencil sebelum keretanya dirampas oleh dua lelaki bersenjata yang menaiki motosikal ketika kejadian pada 27 Julai lalu.
Dia turut mendakwa lelaki terbabit membakar kenderaannya selepas mereka gagal menghidupkan enjin kerana masalah pencucuhan.
Menurutnya, dia turut melarikan diri ke dalam hutan kerana takut dibunuh sebelum menghubungi rakannya untuk meminta bantuan.
Bagaimanapun, polis meragui kebenaran cerita itu selepas siasatan bomba mendapati sumber kebakaran tersebut berpunca daripada sebuah kereta yang dibakar secara sengaja.
Kira-kira empat hari kemudian, Martins telah ditahan polis dan tidak dibenarkan diikat jamin.
Mereka percaya lelaki terbabit merancang untuk membuat tuntutan insurans palsu sebanyak AS$4,700 (RM19,869) untuk keretanya yang kononnya dibakar dalam insiden itu.
Sementara itu, jurucakap polis, Joao Valentim menyifatkan kemusnahan terhadap Hutan Atlantik itu sebagai satu bencana.
"Pakar forensik mendapati api tersebut disebabkan oleh letupan pada tumbuhan kering dan angin kencang telah menyebabkan ia merebak dengan cepat.
"Anggota polis yang melakukan siasatan di kira-kira 20 stesen minyak sekitar bandar itu juga mendapati Martins membeli segelen petrol berhampiran Tres Rios sehari sebelum kejadian tersebut," ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!