Tiada diskriminasi atlet
KEMERDEKAAN bukan sahaja membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman penjajah tetapi juga satu anugerah tidak ternilai dalam membentuk negara bangsa yang meraikan nilai-nilai terpuji dan menolak segala bentuk penindasan.
Perkara itu ditekankan oleh ratu boling negara dan bekas juara dunia, Shalin Zulkifli yang berkata, ketiadaan diskriminasi atau larangan bagi wanita menceburi bidang sukan di Malaysia adalah antara nikmat kemerdekaan yang harus disyukuri.
Dalam konteks sukan, Shalin yang dianggap antara pemain boling paling berjaya dalam sejarah negara berasa bertuah apabila layanan diberikan sama rata kepada atlet lelaki dan wanita.
“Apabila memenangi pingat dalam temasya sukan seperti Sukan Asia, atlet wanita menerima bayaran insentif yang sama dengan atlet lelaki, jadi dari segi itu kita memang sangat bertuah kerana mentaliti kita telah jauh ke depan.
“Kalau kita masih dijajah, mungkin kita tidak dapat banyak kebebasan seperti hari ini. Saat ini Malaysia tidak ada penindasan dari segi jantina,” kata Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali itu kepada Bernama di sini semalam.
Pedoman
Ikon sukan negara berusia 42 tahun itu juga berharap generasi muda dapat menjadikan pengorbanan wira-wira negara terdahulu sebagai pedoman ketika menempuh cabaran.
“Kita perlu hargai apa yang kita sudah kecapi, apa yang mereka (orang terdahulu) telah bertungkus-lumus untuk membantu negara kita merdeka sehingga kita dapat apa yang kita ada sekarang ini.
“Walau dalam keadaan macam mana sekalipun, walau macam mana majunya kita dari segi teknologi dan sebagainya, kita masih perlu ada asas jati diri yang tinggi,” tegas Shalin.
Mengimbau kenangan merdeka, Shalin berkongsi kisah beliau mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kebangsaan ketika di bangku sekolah.
“Saya pernah sertai perbarisan merdeka bersama unit beruniform Pandu Puteri dan kumpulan pancaragam yang perlu berlatih berhari-hari dalam masa dua minggu,” katanya.
Selain itu, kejayaan merangkul gelaran juara dunia 2007 di Mexico pada bulan kemerde-kaan adalah antara kenangan merdeka Shalin yang masih segar dalam ingatannya.
“Ketika itu aksi final jatuh pada hari berdekatan sambutan merdeka,” katanya.
Sebagai seorang atlet senior, Shalin yang masih beraksi di pentas antarabangsa berkata, setiap individu perlu sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh sekiranya ingin mencapai kejayaan dalam melakukan sesuatu perkara.
“Kita tidak boleh tunggu benda (perkara) senang jatuh dari langit,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!