Gelang 'pink' kedai haiwan rupanya...

Gambar pasangan kekasih tersebut tular selepas didakwa memakai gelang berwarna merah jambu pengesanan Covid-19 di kawasan parkir Bukit Bendera. Gambar kecil: Soffian
Gambar pasangan kekasih tersebut tular selepas didakwa memakai gelang berwarna merah jambu pengesanan Covid-19 di kawasan parkir Bukit Bendera. Gambar kecil: Soffian
A
A
A

GEORGETOWN - Dua individu memakai gelang tangan berwarna merah jambu yang didapati berada di kawasan parkir kenderaan di Bukit Bendera, Air Itam di sini disahkan negatif (koronavirus) Covid-19.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua yang merupakan pasangan kekasih itu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita.

Beliau berkata, wanita tersebut mendakwa ternampak pasangan tersebut berjalan di parkir kenderaan pusat peranginan itu pada jam 3.25 petang, 2 Ogos lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pasangan itu memakai gelang tangan berwarna merah jambu yang dikhaskan kepada pengunjung sebuah kedai haiwan peliharaan di New World Park di sini.

"Hasil keterangan pasangan itu, mereka ke sebuah kedai haiwan peliharaan, Corgi & The Gang Pet Cafe pada jam 12.30 tengah hari, 2 Ogos sebelum ke Bukit Bendera.

"Mereka dipakaikan gelang berwarna merah jambu yang bertulis 'Husky And The Gang' untuk memasuki premis tersebut.

"Oleh kerana mereka ingin kembali ke kedai tersebut pada sebelah malam, mereka tidak menanggalkan gelang itu kerana premis itu membenarkan pengunjung yang telah datang ke premis untuk masuk semula dengan syarat memakai gelang berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Menurutnya, semakan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mendapati nama mereka tiada dalam senarai pesakit dalam pemantauan (PUS) di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Artikel Berkaitan:

Soffian berkata, kedua-duanya yang tinggal di Butterworth itu mengaku merupakan individu yang tular di media sosial.

"Mereka yang berusia 21 dan 22 tahun itu mengaku tidak pernah ke luar negara. Kedua-duanya berada di kaunter tiket furnikular Bukit Bendera pada jam 3 petang pada hari sama selama sejam untuk menunggu giliran membeli tiket.

"Oleh kerana menunggu terlalu lama, mereka membatalkan hasrat untuk naik ke Bukit Bendera, lalu pergi ke Pasaraya Queensbay di Bayan Baru," katanya.

Katanya, kedua-duanya yang bekerja sebagai operator kilang dan pembantu kedai itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Terdahulu, tular gambar wanita dan lelaki memakai gelang berwarna merah jambu pengesanan Covid-19 berada di tempat kawasan parkir kenderaan dipercayai berhampiran sebuah rumah ibadat di Bukit Bendera di sini.

Paparan yang dimuat naik pengguna Facebook itu mengatakan telah terserempak dengan pasangan yang memakai gelang tangan merah jambu itu semasa berselisih di tangga keluar dari pusat pelancongan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!