Tular solat jenazah doktor dijangkiti Covid-19
MEDAN - Rakaman video menunjukkan orang ramai menunaikan solat jenazah doktor Andhika Kesuma yang meninggal dunia akibat wabak koronavirus (Covid-19) tular di laman sosial.
Menerusi rakaman itu, solat diadakan di kawasan terbuka dan jenazah masih berada di dalam ambulans.
Lapor Detik.com, kelihatan seorang imam memimpin solat tersebut dan ia berjalan dengan lancar.
Jurucakap pasukan petugas Covid-19 Sumatera Utara, Mejar Kes Whiko Irwan, memberitahu solat jenazah itu tidak salah malah boleh dilakukan sedemikian.
"Boleh sahaja, ikut keyakinan masing-masing. Yang penting adalah menjaga jarak, memakai pelitup muka, dan tidak membuka keranda," katanya.
Beliau mengatakan bahawa sudah ada peraturan khusus mengenai ziarah jenazah pesakit Covid-19.
Menurutnya, peraturan itu menekankan bahawa tidak boleh ada kontak langsung antara petugas atau orang lain dan mayat pesakit Covid-19.
"Berdasarkan Keputusan Menteri Kesihatan 413 dan Pedoman Penanganan Covid-19 untuk semakan 5, jenazah dapat dimandikan, dikafan dan disolatkan oleh petugas yang menguruskan jenazah. Maksimum dua orang di dalam bilik mayat sebelum dibungkus dengan plastik dan diletakkan di dalam peti mayat.
"Protokolnya, tidak boleh ada kontak dengan petugas atau individu yang menghampiri jenazah," katanya.
Terdahulu, Dr Andhika Kesuma juga seorang pakar paru-paru meninggal dunia akibat virus Covid-19 jam 11 pagi setelah dirawat selama 23 hari di Hospital Columbia Asia di Medan.
Andhika adalah orang pertama yang membuka hospital bagi merawat pesakit Covid-19 juga bertugas di hospital terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!