Seluruh negara tumpang gembira

SGBF
SGBF
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Suara Generasi Baru Felda (SGBF) merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Penasihatnya, Datuk Zulkefli Nordin berkata, pelantikan itu bukan sahaja menggembirakan rakyat Pahang, bahkan seluruh rakyat jelata di negara ini secara amnya kerana baginda terkenal sebagai raja berjiwa rakyat.

“Sebagai ketua negara maka besarlah harapan rakyat jelata terutama peneroka Felda untuk berpaut di bawah naungan tuanku Yang di-Pertuan Agong dalam membela nasib ibu bapa kami.

“Warga peneroka sudah lelah ke sana ke mari memohon pembelaan dan menagih simpati golongan politik dan pengurusan tertinggi untuk campur tangan dan melihat permasalahan akar umbi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah cukup dikenali dengan sifat ramah dan sering turun padang mendekati rakyat walaupun di pedalaman.

“Kesulitan ibu bapa kami sudah tidak terperi. Maka dengan pelantikan ini memberi sinar dan harapan baru buat kami generasi Felda menumpang kasih dan bergantung pengharapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, keakraban baginda dengan rakyat seperti kaum asal di Pahang ketika menjadi pemangku raja menjadi contoh ketokohan baginda dalam mentadbir Pahang dan seluruh jajahannya dengan sempurna.

“SGBF memanjatkan doa supaya baginda dikurniakan taufik hidayah riayah dan inayah, dilanjutkan usia, sihat berpanjangan, bertambah iman dan takwa.

Artikel Berkaitan:

“Semoga rakyat Pahang sentiasa di dalam rahmat pemeliharaan-NYA serta dijauhi sebarang kemudaratan. Tahniah, daulat tuanku!,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!