Kerajaan perlu beri bantuan pelitup muka untuk golongan B40

Muhammad Faisal (kiri) menunjukkan pelitup muka yang akan diedarkan kepada golongan B40 sekitar Lembah Klang.
Muhammad Faisal (kiri) menunjukkan pelitup muka yang akan diedarkan kepada golongan B40 sekitar Lembah Klang.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan kerajaan menyediakan bantuan pelitup muka pakai buang untuk golongan B40 dalam usaha memastikan penguatkuasaan pemakaiannya berkesan.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, perkara itu wajar diberi perhatian memandangkan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu mungkin membebankan golongan yang tidak berkemampuan.

Dalam situasi ekonomi yang amat meruncing kini, katanya, sudah pasti banyak keperluan lain yang perlu diberi keutamaan oleh golongan tersebut untuk berbelanja terutama keperluan asas.

"ABIM khuatir sekiranya bantuan sebegini tidak diberi penekanan, matlamat penguatkuasaan undang-undang pelitup muka sebagai mekanisme mencegah penyebaran virus Covid-10 akan gagal.

"Kemungkinan besar golongan yang tidak berkemampuan akan menggunakan semula pelitup muka pakai buang berkali-kali, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Faisal berkata, mengambil kira perkara itu juga, ABIM mengambil inisiatif mengedarkan 2,000 keping pelitup muka untuk golongan B40 sekitar lembah Klang sejak kerajaan mengumumkan untuk mewajibkan pemakaiannya di tempat awam.

Pada masa sama, katanya, ABIM juga menasihatkan masyarakat untuk turut mengambil inisiatif sama sekurang-kurangnya bagi meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu, ABIM telah mengagihkan 6,345 keping pelitup muka untuk 1,269 keluarga B40," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!