Kes jerut isteri: Lebih dua jam selam dalam tasik cari barang bukti
SEPANG - Pasukan Polis Marin (PPM) mengambil masa lebih dua jam menyelam dalam tasik di Taman Putra Perdana, Dengkil di sini bagi mencari telefon bimbit yang dibuang suspek kes bunuh isterinya dalam kejadian Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, operasi membabitkan kekuatan tiga anggota penyelam PPM Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Operasi bermula jam 11 pagi itu tamat pada jam 1.10 petang dengan radius pencarian 9.14 meter dari tebing dan kedalaman 3.6 meter.
"Bagaimanapun, anggota penyelam tidak menemui barang bukti berikutan kawasan yang berbatu serta penuh sampah dan pokok," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Hari ini, polis mengesahkan telah merekod keterangan anak perempuan berusia 14 tahun pasangan terbabit pada Jumaat lalu untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan suspek berusia 41 tahun yang tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan perceraian menyebabkannya dia membunuh wanita terbabit dengan menjerut lehernya menggunakan tudung.
Mayat wanita itu ditemui berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil di sini pada Khamis lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes jerut isteri, polis rekod keterangan anak
Selepas membunuhnya, suspek berpura-pura mencari isterinya yang berusia 40 tahun itu yang juga seorang pensyarah, bersama anak perempuan mereka berusia 14 tahun.
Suspek yang bekerja sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan di Taman Mas, Putra Perdana di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!