KAFA akur dipotong mata
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) akur dengan pemotongan tiga mata yang dilaksanakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana gagal menjelaskan baki tuntutan gaji pemain dan pegawai pasukan Kelantan, The Red Warriror (TRW).
Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, pihaknya menerima keputusan yang telah dikenakan terhadap persatuan itu berikutan sudah dimaklumkan peraturan bakal dikenakan oleh FAM sekiranya gagal menjelaskan tuntutan itu pada tarikh yang telah ditetapkan.
"KAFA bersikap profesional dalam hal peraturan telah digubal dan dipersetujui bersama yang selaras dengan FAM serta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pengurusan yang ada sekarang ini tidak bernasib baik berdepan dengan isu lesen, penswastaan dan kewangan bagi menguruskan tunggakan hutang yang dituntut oleh bekas pemain dan pegawai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Hukuman itu dikenakan susulan kegagalan persatuan itu membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan bagi kes yang sudah diputuskan Jawatankuasa Status FAM sebelum ini.
KAFA hanya berjaya membuat bayaran mengikut pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak pada tarikh akhir bayaran ansuran pertama dan kedua iaitu pada 31 Januari dan 29 Februari.
Husin berkata, antara langkah diambil bagi mengatasi kemelut kewangan, pihaknya melantik Datuk Shaari Mat Husin sebagai presiden dan Ahmad Muzakkir Hamid sebagai naib presiden.
"Kami juga sedang kenal pasti dua calon lagi iaitu naib presiden dan seorang bendahari bagi membentuk pasukan pengurusan baharu apabila beberapa pemimpin tertinggi sebelum ini telah melepaskan jawatan.
Calon-calon itu sudah ada namun exco yang sedia ada sedang meneliti calon-calon berkenaan," katanya.
Katanya buat masa ini pihaknya berpendapat tidak perlu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi memilih kepimpinan baharu KAFA.
"Kami meletak kepercayaan sepenuhnya kepada barisan yang sedia ada bagi menguruskan persatuan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!