Melaka mahu golongan B40 milik rumah sendiri

Sulaiman (empat dari kanan) pada Majlis Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan Pakaian Perlindungan Diri (PPE) di Melaka hari ini.
Sulaiman (empat dari kanan) pada Majlis Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan Pakaian Perlindungan Diri (PPE) di Melaka hari ini.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka sedang merangka kaedah terbaik bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah sendiri menerusi Tabung Dana Harta Bumiputera yang diselia di bawah Melaka Finance House (MFH).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali bagaimanapun berkata, perkara itu perlu diusulkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang untuk mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum berita menggembirakan rakyat itu diumumkan kelak.

Menurutnya, apa yang penting ialah kaedah yang diguna pakai itu akan ditambah baik berbanding sebelum ini dalam usaha membantu golongan tersebut memiliki rumah pertama mereka.

"Pinjaman di peringkat awal untuk perumahan memang kita kaji akibat kenaikan barang dan sebagainya. Dulu kita kata RM50,000 tetapi kini mungkin kita akan naik RM80,000.

"Apa pun ada berita gembira, tapi tunggulah sehingga kita dapat keputusan. Walaupun ia perkara baik, namun mesti dipersetujui oleh semua pihak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan Pakaian Perlindungan Diri (PPE) di Dewan Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Malaysia, Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Rahmad Mariman.

Sulaiman (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang sukarelawan pada majlis di Melaka hari ini.
Sulaiman (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang sukarelawan pada majlis di Melaka hari ini.

Sementara itu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, kesediaan sukarelawan membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberikan perkhidmatan menjahit PPE satu sikap yang harus dipuji.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac lalu, seramai 85 sukarelawan terlibat termasuk peserta kelas jahitan, ahli jawatankuasanya dan kakitangan Kemas untuk menyiapkan sebanyak 3,084 unit PPE.

"PPE itu telah diserahkan dan digunakan oleh petugas barisan hadapan terutama di klinik kesihatan dan hospital yang ditetapkan. Saya berharap semangat kesukarelawan dan kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis itu, Sulaiman turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 15 individu termasuk Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!