Perak aktifkan semula e-Sistem
IPOH - Kerajaan Perak mengaktifkan semula e-Sistem yang diperkenalkan tahun lalu bagi membantu menyelaras permohonan peruntukan yang dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri.
Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, pada masa ini terdapat sebanyak 6,652 NGO berdaftar di Perak dan ada antaranya mengemukakan permohonan sama kepada Exco-exco lain.
"Kita ada 10 Exco dan seorang Menteri Besar, jadi ada 11 saluran untuk NGO-NGO ini buat permohonan. Kadang-kadang ada juga NGO yang cuba nasib pergi kepada semua saluran dan kita tidak ada sistem untuk memantau keadaan itu.
"Jadi dengan adanya e-Sistem, kita boleh tahulah NGO mana yang dah dapat (peruntukan), maka Exco lain bolehlah pertimbangkan untuk berikan dana kepada NGO lain pula agar semua dapat merasa peruntukan disediakan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Kursus Asas Tadbir Urus dan e-Sistem NGO di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.
Razman berkata, kerajaan negeri telah berbelanja besar dalam menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Disebabkan itu, katanya, semua peruntukan anggota Exco kerajaan negeri diletakkan di bawah satu saluran dan hanya dipertimbangkan untuk perbelanjaan yang mustahak sahaja.
"Sejak diaktifkan semula sebulan lalu, sistem dibangunkan Digital Perak ini sudah menerima lebih 200 permohonan daripada NGO," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!