Nasib 800 nelayan sampan dalam pembelaan Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sedang berusaha untuk menyelesaikan isu lesen nelayan pantai (Zon A) atau nelayan sampan yang membelenggu sebahagian nelayan di negeri sejak sekian lama.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi tujuan itu, satu pasukan 'task force’ ditubuhkan bersama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan-persatuan nelayan kawasan di negeri ini.
Menurutnya, antara tanggungjawab pasukan itu adalah membuat pemutihan dengan mengenal pasti nelayan tulen yang aktif.
"Buat masa ini, terdapat kira-kira 800 lesen nelayan pantai yang dalam proses pertimbangan untuk diselesaikan. Sebenarnya isu lesen ini sudah lama membelenggu nelayan sejak berpuluh tahun dahulu. Ada antaranya yang menjadi nelayan sejak dari muda hingga tua tapi masih belum ada lesen.
"Sebab itu kita buat pemutihan agar hanya nelayan tulen yang mendapat lesen ini," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu memastikan hanya nelayan tulen atau sepenuh masa mendapat manfaat berkenaan dan bukannya mereka yang turun ke laut hanya untuk separuh masa.
“Setelah kita kumpulkan data dan buat tapisan dan mendapati sekitar 800 lebih nelayan sampan yang belum mempunyai lesen. Kita telah serahkan senarai ini kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
"Secara dasarnya, mereka bersetuju untuk memberi kelulusan dan dengan kelulusan ini, isu lesen yang membelenggu sejak berpuluh tahun dahulu akan diselesaikan,” katanya.
Dr Azman berkata, antara isu yang menyebabkan nelayan pantai sukar untuk mendapatkan lesen ialah sumber perikanan yang berkurangan.
“Selain itu, jumlah nelayan di Terengganu terlalu ramai. Namun jika itu diambil kira, mereka tetap akan turun ke laut sebab itu sumber rezeki mereka.
“Isu ketiga yang timbul ialah kita mungkin tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk elaun sara hidup nelayan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!