Cadangan struktur semula JKM dijangka ke JPA sebelum hujung tahun
KUALA LUMPUR - Cadangan penstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau berkata, penstrukturan semula itu yang melibatkan JKM negeri, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta institusi di bawah pengurusan JKM, bertujuan memperkasakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Cadangan ini juga membantu mengurangkan beban tugas dan keperluan perjawatan.
“KPWKM komited berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada kumpulan sasaran selaras dengan perubahan sosial serta cabaran masyarakat dinamik,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Rina berkata, pihaknya turut mengemukakan permohonan pemberian elaun khas kepada pegawai skim perkhidmatan setelah mengambil kira aspek beban tugas serta peranan pegawai terbabit dalam menjalankan tugas.
Katanya, antara jawatan terlibat ialah Pembantu Pembangunan Masyarakat, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat dan Pegawai Pembangunan Masyarakat.
Menjawab celahan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang mendakwa Talian Kasih 15999 tidak beroperasi selama dua minggu dari 18 hingga 31 Mac lepas, Rina menafikan perkara itu dan berkata talian tersebut beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kenyataan itu tidak benar malah kita (KPWKM) sentiasa memastikan Talian Kasih 15999 dibuka dan saya ada fakta jumlah panggilan yang diterima sebelum dan semasa PKP. Sebagai contoh, pada April kita terima 20,305 panggilan berbanding 4,000 panggilan sebelum PKP,” kata Rina. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!