Polis tumpaskan geng samun berkumpulan di Klang
KLANG - Polis menumpaskan satu geng samun dengan tertangkapnya empat lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh dadah itu ditahan bermula jam 1.30 pagi.
Menurutnya, semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau bersabit kes samun, curi kenderaan dan dadah.
"Polis merampas sebuah kereta Proton Saga, telefon bimbit, pisau panjang dan batang besi serta beberapa peralatan lain.
"Kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nurulhuda berkata, tangkapan kesemua suspek ini susulan kejadian kes samun di hadapan sebuah restoran di Taman Aman Perdana, Klang kira-kira jam 6.30 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, katanya, mangsa seorang lelaki merupakan pembantu kedai makan yang datang ke restoran untuk membuka premis telah bergelut dengan suspek hingga mengalami kecederaan di tangan kanan.
"Suspek telah melarikan diri dengan membawa telefon bimbit mangsa," katanya.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek terbabit, polis berjaya menumpaskan geng ini dalam tempoh 24 jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!