Jeritan anak selamatkan bapa
PONTIAN - Jeritan kuat anak berjaya menyelamatkan bapanya apabila rumah separa kayu yang didiami hangus dalam kebakaran di Jalan Parit Ismail, Benut di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Rusni Samsuri, 54, sedang lena tidur di ruang tamu rumah dikejutkan dengan jeritan anaknya Mohd Amirul, 24, menyuruhnya keluar menyelamatkan diri selepas melihat kepulan asap.
Rusni berkata, ketika bergegas keluar kayu dari bahagian bumbung terkena bahunya, namun tidak mengalami kecederaan teruk dan sempat keluar sebelum api marak.
“Saya terkejut tengok asap memenuhi ruang tamu rumah sebaik saja terjaga dari tidur. Saya bernasib baik sebab anak saya balik awal. Jeritannya mengejutkan saya yang sedang tidur,” katanya di sini, hari ini.
Rusni yang tinggal sehelai sepinggang cukup sedih kerana impiannya untuk memindahkan perabot, barang elektrik dan perkakasan rumah ke rumah bantuan Baitulmal yang diterima tidak tercapai.
“Saya bercadang hendak berpindah ke rumah bantuan Baitulmal yang baru di sebelah rumah saya yang terbakar selepas Tahun Baharu Cina ini, segalanya musnah. Saya tak sempat selamatkan apa-apa barang, sebab api marak cepat sangat.
“Tapi, saya syukur pelbagai pihak tampil menyatakan keinginan untuk membantu meringankan beban dan datang melawat termasuk Ketua Bersatu Bahagian Pontian, Zulkifly Tasrip,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!