Jujurlah pada diri sendiri

No Image Caption
A
A
A

SIKAP terpaksa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan hanya kerana takut dikompaun atau diheret ke mahkamah perlu dibuang jauh-jauh.

Masyarakat perlu sedar bahawa tujuan pihak berkuasa memperkenalkan pelbagai SOP adalah untuk menunjukkan betapa perlunya kawalan kendiri dan bukannya sengaja mahu menyusahkan orang awam.

Misalnya, masih ada yang degil dan menyukarkan peniaga apabila enggan mengambil suhu badan dan menulis maklumat diri ketika memasuki premis perniagaan.

Malah, penulis pernah melihat individu yang tidak bersikap jujur apabila tidak menulis nama serta maklumat yang diminta ketika memasuki sebuah pasar raya di Klang, Selangor baru-baru ini.

Ada juga yang tidak mengisi maklumat seperti nama, nombor telefon dan bacaan suhu dengan betul.

Bukankah perbuatan itu boleh mengundang padah dan menyusahkan orang lain jika ada kes jangkitan di kawasan tersebut?

Sikap seperti itu membuktikan masih ramai yang degil untuk mematuhi SOP dan ini sangat mengecewakan.

Lebih menjengkelkan apabila wujud kumpulan ‘gelang pink’ yang baru pulang dari luar negara dan sepatutnya melakukan kuarantin kendiri di rumah tetapi sewenang-wenangnya berada di tempat awam.

Artikel Berkaitan:

Akibat sikap tidak jujur itulah yang mencetuskan kluster PUI Sivagangga di Kedah sehingga menyebabkan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang meminta orang ramai menjadi mata dan telinga untuk melaporkan kepada pihak polis atau pejabat kesihatan sekiranya terserempak dengan individu berkenaan di tempat awam.

Menurut Mohd Fikri, antara perkara yang boleh dilakukan orang ramai ialah berkongsi gambar agar individu terbabit dapat dikesan dan diambil tindakan.

Masih ingkar

“Pemakai ‘gelang pink’ Covid-19 milik Kementerian Kesihatan sepatutnya dikuarantin di rumah dan tidak boleh keluar ke tempat awam.

“Sekiranya berdegil, orang awam yang nampak mereka boleh laporkan kepada polis atau pejabat kesihatan berdekatan,” katanya.

Sedih rasanya tatkala pihak berkuasa terutamanya petugas barisan hadapan bertungkus-lumus mengawal penularan wabak tersebut, masih ada anggota masyarakat yang tidak mahu memberikan kerjasama.

Adakah SOP ini sesuatu yang terlalu membebankan sehingga begitu sukar untuk dipatuhi?

Sebagai rakyat prihatin, kita perlu sedar tidak mungkin pihak berkuasa mampu memantau gerak geri kita sepanjang masa.

Jadi hentikanlah perbuatan menipu diri sendiri ini seperti hanya mahu mematuhi SOP semasa lalu di depan anggota penguat kuasa.

Sebaliknya, jujurlah pada diri sendiri dengan mematuhi segala nasihat dan SOP dengan niat mahu sama-sama membantu memutuskan rantaian wabak ini.

Dalam pada itu, bermula 1 Ogos lalu orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak dan di dalam semua pengangkutan awam seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Walaupun sudah diwajibkan, namun masih ada segelintir masyarakat yang memandang enteng SOP tersebut.

Buktinya seramai 127 orang ditahan kerana tidak memakai pelitup muka pada hari pertama peraturan itu diwajibkan Sabtu lalu.

Mungkin rakyat Malaysia terlalu ‘pemurah’ sehingga tidak kisah membayar kompaun RM1,000 kerana ingkar SOP.

Jelaslah, segala nasihat dan saranan pihak berkuasa selama ini sia-sia sahaja kerana ada yang masih gagal memahami mesej yang hendak disampaikan kerajaan.

Sebaliknya, jika kita memakai pelitup muka dengan niat ingin melindungi diri dan membantu memutuskan rantaian wabak Covid-19, maka kita boleh berbangga kerana mampu menjadi masyarakat yang mempunyai nilai integriti dan sikap tanggungjawab yang tinggi.

Pelitup muka kini boleh dikategorikan sebagai perisai paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan Covid-19, selain memastikan penjarakkan fizikal dipatuhi.

Ingat, wabak ini belum berakhir dan kita belum lagi menang dalam perang melawan Covid-19.

Kita tiada pilihan selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam usaha menamatkan wabak ini.

Marilah buktikan kita mampu menjadi masyarakat yang berintegriti tinggi, prihatin dan bertanggungjawab.

* Azie Yahya ialah Wartawan Meja Nasional Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!