Foto solat tepi jalan cetus perdebatan
HATI Merak Jalanan tersentuh melihat gambar pengguna lebuh raya menunaikan solat di tepi jalan sehingga menjadi tular baru-baru ini.
Dalam gambar itu, dua wanita bertelekung dilihat menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan lebuh raya dipercayai berhampiran Plaza Tol Gombak menghala ke Genting Sempah.
Dulu pemandangan sebegini hanya boleh dilihat di luar negara seperti di Mesir. Tetapi ekoran kesesakan jalan raya susulan orang ramai berpusu-pusu balik kampung untuk beraya, menyebabkan segelintir umat Islam mengambil keputusan memberhentikan kenderaan dan solat di tepi jalan.
Setahu Merak Jalanan, solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan tempat tersebut bersih dan suci. Kaki lima kedai, tepi jalan, penjuru pasar, malah di dalam hutan.
Keadaan ini menunjukkan Islam itu mudah, dan tidak susah. Solat tidak semestinya di masjid. Apa yang penting, di sebalik sibuk berniaga, balik kampung atau seronok mendaki gunung, jangan pula sampai tak mendirikan Rukun Islam kedua itu.
Namun begitu, solat di lorong kecemasan tersebut telah mencetuskan perdebatan khususnya dalam kalangan warganet di media sosial. Bagi Merak Jalanan, kesungguhan menjaga solat fardu itu bagus tetapi jangan pula berlebih-lebihan. Seeloknya carilah tempat yang selamat seperti R&R.
Menggunakan laluan kecemasan boleh membahayakan nyawa sendiri. Kalau tiba-tiba ada kenderaan terbabas, lain pula jadinya nanti. Ia juga menyusahkan ambulans yang membawa pesakit ke hospital. Melakukan sesuatu yang memudaratkan diri adalah haram hukumnya walaupun ia ibadah wajib, begitulah kata seorang mufti yang Merak Jalanan baca.
Kalau seorang dua pengguna yang singgah solat mungkin tak mengapa, tapi apa yang Merak Jalanan risau jika kelak menjadi ikutan, sudahnya tepi lebuh raya jadi macam tempat berkelah pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!