Dipermainkan tangan-tangan ghaib
MESYUARAT Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-14 berlangsung dengan hangat. Bukannya hangat dalam perdebatan pro dan kontra ketika pembentangan usul untuk sesebuah akta baharu, sebaliknya hangat ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong hingga suasana jadi tidak keruan.
Sama ada kita meluat ataupun tidak, inilah budaya dalam Parlimen pada hari ini. Namun, jika kita rajin mengintai di kantin Parlimen, kita akan lihat ahli-ahli Parlimen daripada blok kerajaan mahupun pembangkang elok sahaja duduk bersama menjamu selera.
Jadi, yang riuh rendah dalam Parlimen bagai hendak rak itu, apa? Iya, mereka juga seperti ahli-ahli gusti di tepian gelanggang. Mereka baik-baik sahaja kerana mereka profesional!
Suasana serius dan berhati-hati kita sewaktu PKP telah berubah 360 darjah akibat penangan mereka. Berita mereka kini berselang-seli dengan berita usaha kerajaan memerangi Covid-19. Nampaknya ahli-ahli politik adalah frontliners dari segi bahan berita. Isu pertumbuhan ekonomi, sosial, malah cerita-cerita golongan artis telah menjadi suam.
Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia banyak dibahas dari sudut politik, bukan sangat dari sudut lain seperti kedaulatan undang-undang. Tafsiran yang segera dilihat ialah kesan politik kepada kerajaan Perikatan Nasional.
Oh, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan lega kerana ancaman Najib untuk bertapak kembali ke dalam UMNO semakin pudar. Malah, soalan yang ditanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ialah apakah UMNO akan menyertai Perikatan Nasional?
Soalan itu tidak perlu kerana Perikatan Nasional masih belum didaftarkan. Apabila beliau berkata UMNO tidak akan menyertai Perikatan Nasional, ia dikonotasikan seolah-olah sebagai keputusan besar yang akan UMNO ambil berikutan keputusan mahkamah ke atas Najib.
Peliknya, apabila muncul berita Bersatu memohon menyertai Muafakat Nasional, cerita itu tidak diulas dan dianalisis. Terkini, apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, topik politik semakin panas dibincangkan khususnya dalam grup-grup WhatsApp.
Namun, kebanyakan debat itu bertitik tolak daripada pautan sesebuah berita politik daripada media online. Cerita Najib, Muhyiddin, Hadi, UMNO, Pas dan Bersatu dibincangkan secara bebas penuh dengan sindiran, ancaman malah dengan kata-kata kesat. Mereka berdebat daripada sebuah berita yang dipaut daripada akhbar dan blog. Lazimnya apa yang disuarakan begitu membimbang dan membahayakan.
Soalnya, mengapa perbincangan daripada media akhbar dan media maya dipindahkan ke dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp dan menjadi bahan analisis dan perbincangan?
Kebanyakannya pula berupa spekulasi, malah tak betul pun. Sekali pandang, tampak canggihlah hujah-hujahnya. Dua kali perhati, ia amat dangkal kerana sumbernya daripada pendapat sekali lalu yang diulas penulis artikel, kemudian ditampal ke dalam kumpulan WhatsApp dan dikomen secara berjemaah hingga tular ke seluruh negara.
Betapa terdapatnya komen seorang Ketua Pemuda Bahagian pun dibincangkan dari pagi hingga ke malam hingga ada yang left group kerana berkecil hati. Sedangkan pucuk pimpinan parti-parti yang terlibat tidak pernah bersuara, malah amat damai ketika duduk sama-sama bermesyuarat.
Berhati-hatilah. Jangan kerana hendak dilihat impresif sebagai penganalisis, kita sebenarnya termakan dengan permainan mereka yang sengaja menggemburkan berita dan cerita perbezaan pendapat seolah-olah telah berlaku perbalahan.
Berhati-hatilah dengan permainan tangan-tangan ghaib yang sentiasa baling batu sembunyi tangan! Tangan-tangan itu sudah kembali!
** Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!