Bersederhana manhaj kehidupan

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

MINGGU ini kita telah memasuki awal bulan Ogos tahun 2020. Sedar tak sedar lebih daripada separuh tahun 2020 telah pun kita lalui. Begitu cepat masa berlalu dalam kesibukan kita menghadapi pelbagai rutin harian, mengatur perjuangan dan menangani cabaran yang datang silih berganti.

Dalam menghadapi arus kehidupan, bermacam dugaan dan perasaan mendatang dalam diri. Namun segalanya kita perlu hadapi dan tidak boleh kita ketepikan. Perasaan sayang dan benci adalah lumrah yang sentiasa ada dalam diri kita. Kewujudannya tidak boleh dielakkan. Tetapi boleh dikawal dan dilentur mengikut kekuatan akal, jiwa dan perasaan yang ada pada seseorang.

Islam sentiasa menetapkan satu manhaj yang betul dalam menghadapi suasana kehidupan dan menangani kerencaman perasaan iaitu dengan bersederhana.

Sebagai contoh, Islam sentiasa mengajar kita supaya mengambil manhaj atau pendekatan untuk bersederhana dalam menyayangi mahupun membenci seseorang. Lawan kepada sederhana adalah ekstrem. Ini kerana suatu pelakuan sayang yang ekstrem boleh bertukar menjadi suatu kebencian yang juga bersifat ekstrem.

Ekstrem adalah satu sifat yang membawa kepada kerosakan. Seseorang yang ekstrem akan sentiasa cenderung menampilkan keekstremannya walau dalam apa jua keadaan dan situasi sekalipun.

Dalam satu athar berstatus marfu’ yang disandarkan kepada kata-kata Saidina Ali: “Sayangilah kekasihmu sesederhana mungkin kerana mungkin kekasih yang disayangi itu menjadi musuhmu yang paling dibenci; Bencilah musuhmu sesederhana mungkin kerana musuhmu yang dibenci itu menjadi kekasihmu yang paling disayangi.”Oleh yang demikian, bersederhana adalah jalan tengah yang sangat dituntut kerana itulah manhaj kehidupan yang paling sesuai untuk dilentur dan dikawal oleh hati dan perasaan. Dalam arena politik, perasaan sayang dan benci adalah lumrah.

Berdepan dengan keragaman manusia yang kompleks sifatnya menyebabkan kita perlu sentiasa peka, sensitif dengan perubahan dan perlu bertindak mengikut keperluan yang strategik. Perasaan

Tetapi dalam politik juga kita tetap perlu bersederhana. Meletakkan logik melebihi daripada emosi dan menjaga kerukunan ukhuwah pada tahap yang optimum.

Artikel Berkaitan:

Membezakan antara pertelingkahan berfakta dengan serangan terhadap peribadi akan menjadikan kita mengetahui sejauh mana batas dan sempadan yang boleh kita tempuh dalam berpolitik.

Pendek kata, bersederhana bukan sekadar satu slogan, tetapi satu amalan yang perlu dihayati dan diamalkan. Kekuatan yang ada pada diri manusia adalah akal yang membezakan manusia dengan haiwan. Akal yang ada pada manusia mempunyai kekuatan, renungan dan mendalam. Melalui akal yang ada manusia mempunyai kekuatan untuk memahami dan melakukan perbezaan antara yang baik dengan yang buruk.

Kemudian manusia boleh melakukan renungan terhadap sesuatu yang baik dengan yang buruk dan akhirnya membuat keputusan berdasarkan akalnya yang mendalam terhadap sesuatu perkara.

Dengan itu sifat yang ekstrem dapat dikawal dan dielakkan sama sekali daripada terjadi dalam kehidupan seharian. Meskipun begitu, bukanlah suatu yang mudah bagi kita mengarahkan akal supaya mengambil tindakan yang bersederhana dalam kehidupan.

Ini kerana akal juga sentiasa berhadapan dengan komponen yang lain yang bertentangan iaitu marah dan dendam yang sentiasa mengarah kepada perbuatan yang ekstrem.

Tetapi bagi mengimbanginya ALLAH menganugerahkan kita akal untuk menggerakkan ketenangan, keyakinan dan harapan serta melawan segala ketakutan. Moga ALLAH sentiasa bersama kita penempuh dugaan dan cabaran kehidupan yang tidak pernah berkesudahan.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!