PETALING JAYA - Seorang remaja perempuan berdepan detik hitam selepas dipercayai dicabul anggota polis bantuan semasa berada di sebuah stesen transit aliran ringan (LRT), Khamis lalu. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun yang sedang sendirian telah didatangi suspek. Menurutnya, suspek telah mempelawa untuk menemani mangsa atas dasar keselamatan dengan duduk di tangga stesen terbabit. "Suspek yang bertugas di stesen terbabit didakwa memaksa mangsa untuk bersalaman sebelum beredar dan bertindak menyentuh dada mangsa. "Terkejut dengan tindakan suspek, mangsa telah melarikan diri dan hanya menceritakan perkara itu kepada keluarganya selepas tiba di rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, polis telah bertindak menahan seorang anggota polis bantuan berusia 36 tahun kira-kira jam 12.30 tengah hari, tadi. Nik Ezanee berkata, siasatan awal suspek mengaku telah bertemu dengan mangsa pada masa dan tempat kejadian yang dilaporkan. "Bagaimanapun, suspek menafikan dirinya mencabul mangsa yang juga seorang pelajar dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.