Edar 5,000 Jalur Gemilang

Sebanyak 5,000 Jalur Gemilang diedarkan oleh Jabatan Penerangan Pulau Pinang sempena bukan kemerdekaan pada tahun ini.
Sebanyak 5,000 Jalur Gemilang diedarkan oleh Jabatan Penerangan Pulau Pinang sempena bukan kemerdekaan pada tahun ini.
A
A
A

JABATAN Penerangan Pulau Pinang mengedarkan kira-kira 5,000 Jalur Gemilang di negeri ini sempena sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

Pengarahnya, Sabri Said berkata, Jalur Gemilang itu diserahkan kepada wakil-wakil komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan-jabatan kerajaan.

“Penyerahan Jalur Gemilang ini dibuat menerusi program Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka) yang dilaksanakan setiap hari.

“Bagi tempoh 16 hingga 30 Julai ini, kita akan mengadakan sebanyak 100 program IOW Merdeka peringkat negeri iaitu setiap daerah masing-masing akan adakan 20 program,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebang-saan dan Kibarkan Jalur Gemilang 2020 Peringkat Pulau Pinang di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sabri berkata, IOW Merdeka merupakan usaha jabatan berkenaan bagi menyebarkan maklumat mengenai dasar-dasar dan inisiatif kerajaan.

“Selain itu, ia juga untuk memberi informasi mengenai isu semasa seperti Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), koronavirus (Covid-19), banci penduduk dan perumahan Malaysia, hebahan ancaman wabak denggi dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang turut memainkan peranan membantu Jabatan Penerangan Pulau Pinang untuk menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan turut mengedarkan Jalur Gemilang.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, pihak swasta, premis perniagaan, rumah kediaman, institusi dan individu juga digalakkan bersama-sama menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan mengibar Jalur Gemilang.

“Pada saat negara sedang berdepan pandemik Covid-19, marilah kita bersatu padu menunjukkan semangat patriotisme dan menghadapi wabak ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, walaupun masih terikat dengan SOP, semangat patrio-tisme rakyat Malaysia kekal utuh dan tidak pernah luntur.

“Selari dengan tema Malaysia Prihatin, sambutan pada tahun ini semestinya mempunyai inti pati dan matlamat yang tersendiri.

“Ia menuntut semua pihak tanpa ada yang terkecuali untuk berganding bahu melawan Covid-19 daripada terus menular.

“Keprihatinan semua pihak untuk menjaga antara satu sama lain memberi pengertian yang cukup besar sekali gus menyuntik semangat kita semua untuk terus maju ke hadapan selaras dengan aspirasi serta pengertian semangat kemerdekaan itu sendiri,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!