Lompat si katak lompat
AWANG ucapkan syabas pada pendirian parti Warisan dan gabungannya di Sabah yang buat ketetapan tidak akan meletakkan calon ‘katak politik’ dalam pilihan raya negeri kali ini.
Memang dari dulu pun Awang benci pada sikap manusia jenis ini. Mereka anggap amanah yang diberikan oleh rakyat itu sebagai lesen untuk mereka buat apa saja. Apabila sampai masanya, mungkin dengan sogokan yang besar, mereka melompat ke parti lain.
Apa yang berlaku di Sabah itu sangat memalukan. Kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal hampir tumbang disebabkan beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri melompat katak. Mungkin Tan Sri Musa Aman dan geng berharap mereka akan dapat memerintah Sabah.
Tapi Tuk Seri Shafie bukan kecil anak. Dia dah faham sangat selok belok dan tendang terajang politik negerinya. Bila Yang di-Pertua Negeri Sabah bubarkan Dewan Undangan Negeri, ini peluang Tuk Seri Shafie untuk kembali pada rakyat.
Kata orang, terduduk Tuk Seri Musa Aman. Orang yang menyangka akan berkuasa rupanya tersilap kira. Kalau betullah calon katak politik itu dibayar dengan lumayan, sia-sialah usaha itu.
Awang setuju sangat diadakan undang-undang antilompat katak di negara kita. Malu sangatlah politik kita dengan adanya orang macam ini. Mereka bukan berkhidmat untuk rakyat. Tapi mencari peluang buat duit untuk diri sendiri.
Macam kata rakyat Sabah yang kecewa, asal ada wang semua berubah, bah!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!