Tindakan undang-undang sukar diambil
SHAH ALAM - Tindakan undang-undang sukar dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan menghina agama Islam, raja dan negara sekiranya mereka berada di luar negara.
Peguam Syahredzan Johan berkata, secara amnya undang-undang di negara ini hanya dikenakan terhadap pesalah yang berada dalam bidang kuasa di Malaysia.
"Akan tetapi, sekiranya video itu disebarkan di Malaysia, maka boleh dikatakan bahawa ada kesalahan yang dilakukan di Malaysia.
"Bagaimanapun dalam kes ini, masalah utama adalah untuk membawa individu berkenaan pulang ke Malaysia sekiranya dia enggan berbuat demikian. Kita tidak ada perjanjian ekstradisi dengan United Kingdom (UK) untuk kesalahan-kesalahan seperti ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian susulan penularan video memaparkan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia yang berada di luar negara menghina agama Islam serta raja-raja Melayu.
Terdahulu, video lelaki terbabit mula tular sejak semalam dan mendapat kecaman rakyat negara ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Mengulas mengenai perkara itu, Syahredzan berkata, lelaki berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial sekiranya individu itu sendiri memuat naik videonya untuk tatapan umum.
"Malah dia juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan selain didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan sekiranya kesalahan itu dilakukan di Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!