Kanak-kanak nyaris lemas
BALING - Seorang kanak-kanak berusia setahun enam bulan nyaris lemas di Sungai Ketil di Kampung Sungai Batu, petang tadi.
Kakak saudara, Nor Najihah Hazwani Nawawi,18, berkata, anak saudaranya, Alif Nasrullah Razak ditemui penduduk dalam sungai tersebut pada jam 5.45 petang.
"Kami tak tahu macam mana dia boleh lemas. Tiba-tiba saja ada orang kampung maklum budak lemas.
"Bila pi tengok anak saudara sendiri, tapi dah diselamatkan. Perut dia pun dah kembung waktu itu," katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa segera dibawa ke Hospital Baling dengan menaiki motosikal.
"Sebelum itu saya angkat dia (mangsa) dan terbalikkan kepalanya ke bawah serta kaki ke atas untuk keluarkan air dari dalam badan," katanya.
Nor Najihah berkata, lokasi mangsa ditemui tidak jauh dari kawasan seorang kanak-kanak berusia setahun tiga bulan mati lemas, Isnin lalu.
Difahamkan, Alif masih dirawat di Hospital Baling dan keadaannya stabil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!