SHAH ALAM - Pemandu lori yang tergamak merogol dan melacurkan anak kandungnya berusia 13 tahun kepada warga asing akan dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Klang esok. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, suspek berusia 43 tahun itu juga akan dituduh kerana melacurkan anak dan isterinya secara paksaan. Menurutnya, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 13(b) Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 14 ATIPSOM dan Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dengan tiga pertuduhan. "Selain itu, pada hari yang sama juga tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki Bangladesh berumur antara 29 hingga 35 tahun yang merupakan pelanggan kepada mangsa kanak-kanak terbabit akan dihadapkan ke Mahkamah Kajang atas kesalahan merogol. ARTIKEL BERKAITAN: Kes rogol, lacur anak: Lelaki tempatan, 7 warga asing disiasat Lelaki durjana lacur anak, isteri kepada warga asing ditahan Bapa didakwa rogol, lacurkan anak umur 13 tahun "Kesemua warga asing ini akan didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan di Mahkamah Kajang," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambahnya, sebelum ini pada 11 Julai lalu ibu saudara mangsa mendakwa mangsa telah dirogol dan dilacurkan oleh bapa kandung sendiri di sebuah Kondominium, di Hulu Langat sejak tahun 2017. Terdahulu, suspek utama ditahan polis pada 13 Julai lalu di sekitar Selangor. Suspek dipercayai melakukan perbuatan ke atas mangsa bermula pada pertengahan tahun 2019 sehingga Februari tahun ini. Siasatan dijalankan selepas menerima laporan daripada salah seorang ahli keluarga mangsa yang mendakwa anak saudaranya dirogol serta dilacurkan oleh suspek sejak mangsa berusia 10 tahun.