Kumpulan Bobby tumpas, pelbagai jenis dadah dirampas!
JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menumpaskan kumpulan Bobby dan menyita aset serta merampas pelbagai jenis dadah keseluruhannya bernilai RM712,452 menerusi operasi khas di tiga daerah di negeri ini hujung bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi serbuan itu dari 27 hingga 31 Julai lalu, pihaknya berjaya melumpuhkan satu lagi sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini.
Beliau memberitahu, seramai 24 suspek tempatan dan warga asing ditahan termasuk dalang utamanya berusia antara 16 hingga 61 tahun.
"Serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat hiburan di Masai, Pasir Gudang dan menahan tiga lelaki tempatan, dua wanita warganegara Indonesia bersama-sama rampasan dadah.
"Kita membuat empat serbuan susulan di Pasir Gudang, Permas Jaya, Seri Alam dan Iskandar Puteri dan lima lagi serbuan di sekitar Johor Bahru," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, di sini hari ini.
Menerusi sembilan serbuan itu pihaknya menahan 14 suspek termasuk dalang utamanya iaitu seorang lelaki bersama-sama teman wanitanya warga Vietnam pada jam 1.40 petang di tepi bangunan pusat hiburan di Jalan Permas 10, Bandar Baru Permas Jaya, 28 Julai lalu.
Katanya, tangkapan lain dalam serbuan berkenaan melibatkan lapan lelaki tempatan; seorang lelaki Singapura; seorang wanita Indonesia; dua wanita China dan seorang lagi wanita Vietnam.
Menurut Ayob, menerusi semua serbuan itu pihaknya merampas 1.8696 kilogram (kg) ketamin; 895.52 gram (g) ganja; 2.301kg serbuk ekstasi; 31.81g syabu; 2.01g heroin, 2,469 biji pil ekstasi; 859 biji pil erimin 5 dan dua biji pil yaba, keseluruhannya bernilai RM425,571.
"Pihak polis turut menyita pelbagai barangan kemas dianggarkan bernilai RM32,956; dua kenderaan bernilai RM214,000; wang tunai RM7,000; wang tunai USD500; wang tunai China Yuan 6,000 dan wang tunai dolar Singapura 420," katanya.
Selain itu katanya, pihak polis turut menyita lima akaun bank tempatan milik tiga individu dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah berjumlah RM30,234, jumlah keseluruhan sitaan sebanyak RM286,880.
Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati 19 suspek positif dadah jenis methaphemine dan ketamin, semakan mendapati tujuh suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah termasuk suspek warga Singapura mempunyai rekod dadah di negara itu.
Semua suspek katanya, direman selama 14 hari bermula 27 Julai lalu dan gang itu dipercayai sudah bergerak aktif sejak tiga bulan lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!